Monday, May 16, 2011

Persembahan Rekoder Ensemble Sempena Hari Guru

16 Mei 2011: Satu lagi pengiktirafan sekolah kepada Pasukan Rekoder Ensemble apabila diberi kepercayaan untuk membuat persembahan sempena Hari Guru SKTMI2. Semua pelajar dan guru bersorak dengan persembahan yang menarik dan penuh berkeyakinan.

Walaupun sekadar persembahan, namun semua ahli bersungguh-sungguh berlatih untuk mencapai tahap yang paling maksimum pada masa persembahan tersebut.

Tahniah kepada semua ahli Pasukan Rekoder Ensemble atas komitmen yang sangat baik. Didoakan agar pasukan ini akan terus kekal mengharumkan nama serkolah, daerah dan negeri Johor. Tahniah!!!

Penyampaian Rasmi Anugerah Juara Negeri Pasukan Rekoder Ensemble

16 Mei 2011: Sempena Hari Guru 2011, pihak sekolah telah berbesar hati untuk memasukkan acara penyampaian anugerah Juara Negeri Pasukan Rekoder Ensemble dalam majlis rasmi Hari Guru. Semua ahli pasukan dijemput satu persatu untuk menerima piala kemenangan masing-masing.

Semua ahli pasukan sangat teruja dan gembira sekali atas pengiktirafan sekolah. Mereka kini berkeyakinan bahawa dengan sokongan padu oleh pihak pentadbir, pasukan ini akan mara lebih jauh lagi dan adalah tidak mustahil pada tahun ini mereka akan bergelar juara peringkat kebangsaan. Selamat Hari Guru, terima kasih cikgu.

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

16 Mei 2011: Sambutan Hari Guru peringkat sekolah SKTMI2 telah dijalankan dengan penuh meriah dan bermakna sekali. Rata-rata guru amat terharu terhadap sambutan yang diberikan lebih-lebih lagi apabila pelajar memberikan cenderahati dan kad ucapan Hari Guru.

Sambutan dimulakan dengan acara rasmi dengan membacakan perutusan Hari Guru dari Menteri Pelajaran dan Pengarah Kementerian Pelajaran malaysia.

Selesai acara rasmi sukaneka antara guru-guru dijalankan. Suasana meriah dan kegemberiaan guru amat terasa dengan sorakan pelajar sebagai penyokong guru-guru yang diminatinya.

Acara persembahan pelajar dijalankan setelah selesai acara sukaneka. Antara yang membuat persembahan ialah Pasukan Rekoder Ensemble SKTMI2 yang mana kini sedang giat berlatih bagi menantikan pertandingan peringkat kebangsaan setelah dinobatkan sebagai juara negeri pada April yang lalu.

Saksikan tayangan video.


Sunday, May 8, 2011

Apa Pentingnya Pendidikan Muzik di Sekolah?

RAMAI orang terutamanya dari negara dunia ketiga termasuklah di Malaysia menganggap muzik tidak penting. Muzik sering dikaitkan untuk tujuan berhibur semata-mata tetapi kalau boleh bikin duit, itu paling bagus

Sebabnya, di negara kita tidak ramai yang telah menjadi kaya raya kerana muzik. Kalau ada pun, bilangannya boleh dibilang dengan jari.

Lebih baik jadi doktor, peguam atau apa juga pekerjaan yang lain. Sebagai budak pejabat sekali pun tidak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka ada gaji tetap setiap bulan.

Itu mentaliti kita tentang muzik. Kita hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit. Bidang muzik atau peranannya dianggap tidak penting seperti kerjaya-kerjaya lain.

Seolah-olah kita menidakkan kekuatan spiritual alunan tiupan saksofon pemuzik seperti Kenny G misalnya, berbanding terapi seorang doktor sakit jiwa terhadap pesakitnya.

Mentaliti itu timbul antara lain kerana kita terlalu memikirkan bagaimana mahu 'membuat duit' daripada muzik. Sedangkan kita malas berfikir bagaimana mahu menjadikan muzik lebih bernilai daripada duit.

Itu daripada segi tarikan luaran. Apabila bercakap daripada segi dalaman pula, bagaimana sumbangan muzik dalam mempengaruhi emosi, psikologi, ketrampilan diri dan pembentukan nilai intelek seseorang?

Ia agak terlalu jauh ke depan. Mungkin kita tidak terfikir sampai ke tahap itu lagi. Apa pun, ia boleh dimaafkan sesuai dengan taraf kita yang tinggal di negara membangun.

Bagaimanapun, dalam menuju ke arah negara maju pada tahun 2020, ramai juga di antara kita yang telah mulai sedar peri pentingnya muzik.

Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (MAME) contohnya, mengalu-alukan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sejak sekian lama prihatin dalam menerapkan pendidikan muzik di peringkat sekolah rendah.

Matapelajaran muzik yang diserapkan menerusi ko-kurikulum sekolah memang suatu pendekatan yang seiring dengan keperluan negara dalam menuju ke arah negara maju. Bak kata orang, melentur buluh biarlah daripada rebung.

Sayangnya, minggu lalu terdengar pula ura-ura KPM bercadang mahu mengurangkan masa 60 minit seminggu yang diperuntukkan dalam Pendidikan Muzik dalam kurikulum sekolah rendah.

Pengurangan waktu dalam matapelajaran muzik itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan hasrat kita dalam melahirkan 'celik muzik' di kalangan generasi pelapis pada masa depan.

Sebabnya, kuota masa untuk matapelajaran muzik sebelum ini boleh dianggap tidak penting dan hanya sisipan sahaja. Malah, jumlahnya antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Dalam isu ini, cadangan KPM yang mahu mengurangkan jumlah waktu pengajaran dalam matapelajaran muzik yang selama ini memang terlalu sedikit harus dipertimbangkan semula.

Kita sepatutnya mengambil contoh negara-negara maju seperti Jepun yang mewajibkan setiap murid gred 1 hingga 9 (tahun 1 hingga tingkatan 3) mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu.

Boleh dikatakan setiap sekolah di Jepun menyediakan kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran lengkap untuk pengajaran matapelajaran muzik.

Sementara di Jerman pula, setiap murid dari peringkat tadika hingga ke gred 12 (tingkatan 2) pula diwajibkan mengikuti matapelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.

Pendedahan dalam bidang muzik terutamanya daripada peringkat awal tumbesaran kanak-kanak amat penting dan dipercayai banyak mempengaruhi emosi serta pemikiran kanak-kanak.

Tidak hairanlah ramai pakar psikologi Barat yang mendedahkan muzik pada peringkat dalam kandungan lagi dengan muzik-muzik tertentu seperti klasikal bagi membantu perkembangan otak janin.

Dunia pendidikan Islam juga tidak ketinggalan menerapkan alunan irama-irama tertentu dalam melahirkan insan yang membangun seiring dengan pengaruh spritual dan jasmani sejak bayi masih dalam kandungan.

Selain itu, pendidikan muzik pada peringkat kanak-kanak juga akan mendedahkan mereka dengan pelbagai genre dan perkembangan muzik yang amat luas cabang genre serta daya kreativitinya.

Muzik seharusnya dibincangkan secara lebih intelek bagi mengupas segala macam nilai pemikiran dan kreativiti dalam penghasilannya. Daripada situ ia juga boleh diadaptasi ke dalam pelbagai lagi bidang yang merangkumi kerjaya dan cabang-cabang kehidupan yang lain.

Kalaulah pendekatan ini dipandang serius, kita yakin generasi sekarang yang banyak didedahkan dengan muzik akan menjadi lebih progresif pada masa depan.

Pendidikan muzik sejak dari peringkat kanak-kanak secara tidak langsung akan mudah melahirkan masyarakat yang bukan sahaja 'celik muzik' tetapi juga tahap apresiasi mereka yang lebih tinggi.

Para peminat kelak tentunya akan mempunyai citarasa dan pemilihan atas sesuatu karya muzik dengan memilih hanya yang benar-benar kreatif serta bermutu sahaja.

Tidak hairanlah industri muzik tanah air sekarang ini kelihatan statik kerana ia antara lain berpunca daripada tahap citarasa, pendedahan dan pengetahuan kita yang amat cetek dalam bidang muzik.

Pada masa sama, masalah cetak rompak atau hak-hak serta undang-undang yang berkaitan harta intelek juga mungkin dapat ditangani dengan lebih mudah pada masa depan.

Ini kerana apalah gunanya negara mencapai status negara maju sedangkan tahap pemikiran, pengetahuan dan apresiasi kita termasuklah terhadap muzik masih lagi berada ditakuk seperti negara dunia ketiga?

Perkembangan Pendidikan Muzik di Malaysia

PENDAHULUAN

Kualiti pengajaran di sekolah berkait secara langsung dengan kualiti pendidikan pra perkhidmatan dan dalam perkhidmatan yang diterima oleh guru. Perkara ini menjadi lebih penting dalam konteks pendidikan guru muzik disebabkan cabaran unik dan tersendiri yang lazimnya dihadapi oleh guru-guru muzik di sekolah. Justeru itu, sebarang usaha memperkasa pendidikan muzik di sekolah sudah tentu perlu mengambil kira penambahbaikan program pendidikan guru yang ditawarkan.
Namun demikian, program pendidikan guru muzik tidak berdiri dengan sendiri dalam erti kata ianya dipengaruhi dan ditentukan secara tidak langsung oleh perkembangan serta keperluan dan permasalahan kurikulum dan pengajaran pendidikan muzik di sekolah. Ini adalah kerana fungsi asas program pendidikan guru adalah menyediakan guru untuk melaksanakan kurikulum mata pelajaran muzik serta aktiviti-aktiviti ko-kurikulum berkaitan muzik di sekolah secara efektif. Oleh itu, meskipun fokus kertas ini adalah kepada aspek pendidikan guru muzik, perbincangan yang diutarakan tidak dapat lari dari menyentuh isu dan permasalahan yang berkaitan dengan program pendidikan muzik di sekolah.


MEREKAYASA DAN MEMPERKASA

Dua perkataan ’besar’ - merekayasa dan memperkasa – yang terkandung dalam tajuk kertas ini bukannya sekadar bermain dengan kata-kata untuk mengindahkan bahasa. Pemilihan perkataan ’memperkasa’ melambangkan harapan tinggi satu perjuangan yang tidak pernah selesai iaitu untuk memartabatkan pendidikan muzik dalam sistem pendidikan negara. Perjuangan yang kini mencecah hampir tiga dekad sekiranya diambilkira dari tahun pendidikan muzik mula dijadikan mata pelajaran wajib di semua sekolah rendah, seakan-akan tiada penghujungnya. Suasana yang dapat kita saksikan hari ini seakan-akan tidak memberi jaminan yang jelas tentang kestabilan kedudukan mata pelajaran pendidikan muzik dalam kurikulum sekolah, jauh sekali untuk melihat ianya duduk pada aras yang sama dengan mata pelajaran ’penting’ seperti sains dan matematik.

Mungkin setengah daripada kita berpandangan isu memartabatkan pendidikan muzik sebagai satu isu lapuk yang diulang-ulang. Kalaupun ianya merupakan satu isu lapuk namun tetap penting untuk kita terus suarakan. Masakan tidak, sekiranya kita biarkan status yang sedia ada ini, tidak mustahil suatu hari nanti mata pelajaran muzik lenyap daripada kurikulum sekolah arus perdana atas alasan memberi laluan kepada mata pelajaran baru yang kononnya lebih penting dan lebih relevan dengan arus perkembangan sains dan teknologi era globalisasi.

Kita tidak menyangkal terdapat beberapa kemajuan yang dapat diperhatikan di tahun-tahun kebelakangan ini khususnya dari segi peluang peningkatan profesionalisme guru muzik seperti program pengsiswazahan yang kini terbuka begitu luas. Namun demikian, masih banyak isu dan permasalahan seperti yang dibangkitkan dalam persidangan-persidangan yang lepas yang belum dapat ditangani dengan sewajarnya. Kebanyakan daripada isu tentang pendidikan muzik tanahair termasuk yang berkaitan dengan pendidikan guru muzik telah dibangkitkan dalam Persidangan Pendidikan Muzik Kebangsaan yang ulung kalinya diadakan di PWTC Kuala Lumpur dalam tahun 2002.

Antara lain, perkembangan program muzik di sekolah menengah tersasar jauh daripada unjuran perancangan asal strategi perluasannya. Akibatnya, hak murid-murid untuk belajar muzik dan mengembangkan bakat seni masih terus terabai kerana tidak semua sekolah menengah menawarkan mata pelajaran muzik. Aktiviti ko-kurikulum berbentuk muzik pula agak terhad. Kalau adapun, di setengah sekolah keadaannya seakan melepaskan batuk di tangga - lesu dan kurang bermaya - justeru kurang dapat menarik minat pelajar. Turut dibangkitkan ialah isu berkaitan dengan kompetensi guru dan kegagalan mereka memainkan peranan dengan baik sebagai agen memartabatkan pendidikan muzik. Selain daripada itu guru-guru muzik masih berdepan dengan masalah pandangan dan sikap negatif pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa serta masyarakat terhadap mata pelajaran pendidikan muzik serta kurangnya sokongan terhadap aktiviti muzik.

Semua ini sudah cukup membuktikan betapa usaha kita untuk memartabatkan pendidikan muzik selama ini agak kurang berjaya. Serba sedikit ianya turut menunjukkan kegagalan kita, golongan pendidik muzik dalam memberikan gambaran yang baik kepada masyarakat umum tentang nilai dan kepentingan pendidikan muzik meskipun diberi peluang secukupnya berada dalam kurikulum sekolah sebagai mata pelajaran wajib untuk hampir tiga dekad.

Justeru, kita tidak boleh lagi membiarkan diri terus selesa terperangkap dan tidak berganjak daripada status sedia ada. Masyarakat majmuk Malaysia telah banyak berubah semenjak muzik diperkenalkan dalam KBSR. Oleh itu kita perlu meneliti semula kurikulum dan cara pendekatan pengajaran samada masih relevan dengan perubahan-perubahan sosio-budaya masyarakat Malaysia hari ini. Begitu juga kita perlu meneliti semula program pendidikan guru sama ada masih relevan dengan tuntutan masa kini. Kita perlu segera mencari strategi dan pendekatan baru untuk lebih menyakinkan masyarakat tentang nilai dan kepentingan pendidikan muzik. Kita perlukan perubahan yang lebih radikal termasuk memberi tafsiran baru kepada amalan pendidikan muzik, sesuai dengan realiti generasi baru masyarakat Malaysia di samping mengambil kira arus perubahan di peringkat global.

Perubahan yang dimaksudkan di sini adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang menyarankan usaha untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara pada semua peringkat. Transformasi memerlukan anjakan cara berfikir, sikap dan tindakan. Inilah yang dimaksudkan dengan merekayasa iaitu proses perubahan radikal yang melibatkan penyusunan semula, perubahan cara berfikir, menggantikan tabiat lama dengan tabiat yang baru untuk menjadi lebih efektif, efisyen dan responsif (Hammer & Champy, 1993). Naib Canselor UPSI, Profoser Dato’ Dr. Aminah ayob (2008), mengibaratkan proses merekayasa sebagai satu hijrah iaitu berubah dari satu takuk yang rendah ke takuk yang lebih tinggi atau lebih baik.

Dengan mengambil tafsiran merekayasa sebagai hijrah, maka tindakan pertama yang perlu dilakukan dalam merekayasa ialah bermuhasabah. Muhasabah dalam konteks merekayasa bolehlah ditakrifkan sebagai proses membuat refleksi bagi merenung kekuatan dan kelemahan dengan niat untuk memperbaiki diri serta keadaan sekeliling diri menuju suatu keadaan yang lebih baik. Justeru itu, proses muhasabah bukan sahaja melibat soal akal malahan melibatkan soal hati secara bersepadu dalam proses bertafakur (berfikir). Ianya menuntut kita merenung, menganalisis, mengkaji dan membuat penilaian secara jujur dan ikhlas termasuk mencampakkan keegoan, mengakui kesilapan dan kejahilan diri demi mencari kebenaran dalam memperbaiki sesuatu keadaan.


PENDIDIKAN GURU MUZIK TANAHAIR DARI PERSPEKTIF SEJARAH

Proses muhasabah memerlukan kita menoleh ke belakang supaya lebih memahami situasi serta cabaran semasa dalam mencari hala tuju perubahan demi masa hadapan pendidikan muzik yang lebih cemerlang. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Postlewaite dan Thomas, 1980:2):

…there are certain characteristics of schools that may not appear to make sense under present conditions. However, they do make sense when set against their historical background. …traditions from the past have given the education system a direction and impetus not readily altered, so such traditions continue to influence the patterns of schooling today, whether or not these patterns seem most reasonable in terms of national progress.

Oleh itu, elok kita meninjau sejarah perkembangan pendidikan guru muzik tanahair dengan tujuan mengenalpasti permasalahan serta cabaran semasa yang dihadapi oleh pendidikan muzik tanahair amnya dan program pendidikan guru muzik khasnya. Bagi memudahkan perbincangan, terlebih dahulu di bawah ini diberikan ringkasan susur galur perkembangan pendidikan guru muzik dari tahun 50-an hingga abad ke 21:

Thursday, May 5, 2011

Kenangan Lama (Naib Johan Rekorder Ensemble Peringkat Negeri 2008)


Pasukan Rekoder SKTMI(2) sekali lagi mewakili daerah Pontian ke pertandingan rekoder peringkat negeri Johor. Pertandingan telah dijalankan di Johor Baharu pada 10 Jun 2008.
Walaupun tewas dalam mengekalkan kejuaraan yang telah disandang selama dua tahun berturut-turut, namun pihak sekolah amat berbangga di atas usaha yang gigih telah dijalankan selama ini. Syabas dan tahniah. Semoga pasukan rekoder terus sukses dan berjaya merampas kejuaraan pada tahun hadapan. Syabas! Teruskan usaha!

Wednesday, May 4, 2011

Juara Negeri Diraikan Dengan Majlis Jamuan KFC Tajaan Guru Besar

        
Satu jamuan meraikan kemenangan Pasukan Rekorder Ensemble yang telah dinobatkan sebagai Juara negeri telah diadakan di KFC Pontian. Turut hadir dalam jamuan tersebut ialah Guru Besar, semua Penolong Kanan, Pengurus Pasukan dan Jurulatih Pasukan.

Semua ahli pasukan Rekorder Ensemble amat terharu dengan penghargaan yang telah dibuat oleh pihak sekolah. Rata-rata dikalangan mereka berazam akan membuktikan bahawa pasukan inilah nanti yang bakal diraikan sekali lagi dengan gelaran sebagai JUARA Kebangsaan.